Pelajar maut digilis bas

KUALA SELANGOR: Seorang pelajar Tingkatan Satu maut selepas digilis sebuah bas yang sedang bergerak ketika cuba menaikinya sebelum terjatuh di depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung di sini, petang kelmarin.

Pelajar perempuan terbabit, Law Qiu Yi, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala selepas digilis tayar depan bas itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Qiu Yi dikatakan terlewat untuk menaiki bas berkenaan sebelum mengejar dan cuba menaikinya.

Mayatnya kemudian dihantar ke Bilik Mayat Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat.

Jurucakap polis berkata, polis sudah mengambil kenyataan daripada pemandu bas berkenaan.

Sementara itu, bapa Qiu Yi yang enggan dikenali berkata, anaknya itu menderita sakit jantung dan doktor memberitahunya dia tidak boleh hidup lama.

Katanya, dia tidak menyangka Qiu Yi meninggal dunia dalam keadaan menyayatkan hati seperti itu.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Sebuah lori yang membawa kira-kira 3,500 ekor ayam terbalik dan menghempap dua kereta di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Jalan Klang Gate, kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.

Menurut pemandu lori itu yang enggan dikenali, lori yang dipandunya dari Kuantan ke Pelabuhan Klang terbabas selepas sebuah kereta berhenti secara mengejut di hadapannya menyebabkan dia melanggar pembahagi jalan dan lorinya terbalik lalu menghempap dua kereta.

“Kereta yang berhenti mengejut membuatkan saya terbabas dan melanggar pembahagi jalan,” katanya kepada di tempat kejadian.

Polis yang mengesahkan kejadian itu memaklumkan lori menghempap sebuah Proton Wira yang dipandu seorang lelaki dan Perodua Kelisa yang dinaiki tiga sekeluarga.

Kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan teruk di MRR2 di kedua-dua arah antara Gombak dan Zoo Negara.