Patuhi peraturan elak penumpang terkandas

ALOR STAR: Para pengusaha bas ekspres diminta melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan bagi mengelak penumpang terkandas.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Solah Mat Hassan berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan melakukan pemeriksaan terhadap bas di stesen sebelum dibenarkan bertolak ke destinasi masing-masing.

Malah, katanya, anggota polis juga akan membuat pemeriksaan di tempat yang sama bagi memastikan pemandu bas ekspres bebas daripada dadah.

“Kita jangka mungkin berlaku kelewatan perjalanan tetapi itu lebih baik daripada para penumpang tersangkut di pertengahan jalan,” katanya ketika ditemui pada Ops Sikap di Jalan Bakar Bata di sini malam tadi.

Solah juga meminta para pengusaha bas memberikan kerjasama kepada anggota JPJ semasa membuat pemeriksaan supaya perjalanan mereka tidak terganggu.

“Kita akan tempatkan anggota di kesemua 36 terminal bas di seluruh negara bagi menjalankan pemeriksaan terhadap bas dan memastikan penumpang dapat meneruskan perjalanan walaupun kemungkinan ada bas yang terpaksa diganti atau dibaiki serta-merta,” ujarnya.

Dalam pada itu, kira-kira 50 anggota penguat kuasa JPJ terlibat dalam operasi tersebut dengan tiga sekatan jalan raya diadakan di kawasan berdekatan Stadium Darul Aman.

Menurut Solah, operasi tersebut akan memberi tumpuan terhadap penunggang motosikal ekoran kes kemalangan maut membabitkan penunggang dan pembonceng yang terus meningkat.

“Setiap JPJ negeri akan mengadakan operasi ini dengan tumpuan diberikan terhadap motosikal,” katanya.