Kejara: Tiada kompromi dengan pemandu disenarai hitam

KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran tidak akan berkompromi dengan pemandu yang disenarai hitam melalui sistem Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) meskipun pada musim perayaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Musthapa Abdul Rashid berkata, operasi semakan mata dimerit akan tetap dilakukan sepanjang Ops Sikap XIII berlangsung bagi memastikan pemandu yang terbabit dikenakan tindakan serta-merta.

Menurut beliau, sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 36,572 notis tunjuk sebab kepada pemegang lesen kenderaan perdagangan telah dikeluarkan dan didapati sebanyak 60 peratus atau 22,124 notis gagal dipatuhi oleh pemegang lesen terbabit.

‘‘Tindakan ke atas pemandu itu akan dikenakan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan lesen pemandu berkenaan akan ditahan serta-merta.

‘‘Kesalahan ini boleh didenda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada pemberita selepas melancar Ops Sikap XIII peringkat JPJ Negeri Sabah di Terminal Bas Bandaraya, Inanam dekat sini, malam tadi.

Musthapa berkata, selain notis surat tunjuk sebab, sebanyak 14,152 pemandu telah dikenakan notis gantung lesen, notis serah lesen (7,972 pemandu) dan notis amaran (1,561 pemandu).

Beliau berkata, operasi penyamaran sempena Ops Sikap JPJ kali ini akan menumpukan kawasan-kawasan strategik bagi merakam kesalahan pengguna jalan raya melalui kamera video atau kamera digital.

‘‘Anggota kita akan berada di lokasi strategik untuk merakam kesalahan seperti memandu di lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat, memotong garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit dan memotong barisan.

‘‘Pendekatan seperti ini berkesan kerana dalam operasi sempena perayaan Tahun Baru Cina lalu, kita berjaya merakam hampir 4,000 kesalahan dan mereka yang terlibat akan dipanggil untuk pengesahan sebelum notis saman dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, operasi membanteras kegiatan ‘ulat tiket’ juga akan dipertingkatkan bagi memastikan tidak ada penumpang bas yang tertipu semata-mata terdesak untuk pulang ke kampung.