Bakal pengantin maut

GRIK: Dua daripada tiga anggota tentera termasuk seorang bakal pengantin yang dalam perjalanan pulang menyambut Aidilfitri di kampung masing-masing di Kelantan, maut apabila kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari di Kilometer 2.5 Jalan Grik-Lenggong di Kampung Padang Kunyit, dekat sini.

Dalam kejadian itu, kereta Proton Saga yang dinaiki Rosli Deraman, 21, dan Mohd Sahal Mat Sah, 28, dipercayai hilang kawalan akibat dipandu laju sebelum memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah lori.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala manakala rakan mereka, Zaikhan Zakaria, 27, dari 27, Kampung Kubang Batang, Pohon Buluh, Pasir Mas yang memandu kereta itu, terselamat tetapi patah tangan kiri dan kini dirawat di Hospital Grik, Perak.

Ketiga-tiga anggota tentera dari Kem Briged 2, Ipoh, itu dikatakan dalam perjalanan dari Ipoh ke Kelantan apabila kereta dipandu Zaikhan, hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Pemandu lori berkenaan, Mohd Yazim Hassan, 45, dan kelindannya, Mazlan Mat Saad, 23, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Rosli yang berasal dari Kampung Kolam, Tok Uban di Pasir Mas, dikatakan akan melangsungkan perkahwinannya pada hari raya ketiga manakala Mohd Sahal pula mahu menyambut Aidilfitri bersama keluarganya di Kampung Lubuk Bongor di Jeli.

Mayat kedua-dua mangsa dibedah siasat di Hospital Grik dan jenazah mereka dibawa pulang untuk dikebumikan di kampung halaman masing-masing.

Ketua Polis Daerah Hulu Perak, Superintendan Mahat Noor Abdullah, berkata siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berpunca akibat pemandu kereta berkenaan mengantuk.

“Siasatan polis juga mendapati kereta itu dipandu dengan laju dan pemandunya dipercayai mengantuk sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori.

“Berikutan itu, kereta berkenaan remuk di bahagian kiri dan kedua-dua mangsa iaitu Rosli dan Mohd Sahal meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

“Zaikhan yang memandu kereta patah tangan kiri dan kini dirawat di Hospital Grik. Polis melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian itu,” katanya.