37 lokasi kemalangan diberi tumpuan

JOHOR BAHRU 22 Sept. – Polis akan memberi tumpuan ke atas 37 lokasi yang dikenal pasti kawasan yang kerap berlaku kemalangan jalan raya dan kesesakan lalu lintas di negeri ini dalam Ops Sikap XVII (ke-17) mulai 24 September hingga 8 Oktober sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kawasan itu dikenal pasti berdasarkan Ops Sikap yang dijalankan pada 7 hingga 21 Oktober sempena Aidilfitri pada tahun lalu.

“Berdasarkan statistik tahun lalu, bilangan kematian pengguna jalan raya seramai 35 orang, cedera parah (29) dan cedera ringan (69) daripada keseluruhan 2,138 kemalangan yang dilaporkan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, daerah Johor Bahru Selatan mencatatkan bilangan terbanyak dari segi lokasi yang menjadi tumpuan dalam operasi itu iaitu 9 kawasan, diikuti Batu Pahat (5), Mersing (4) Kota Tinggi (4), Johor Bahru Utara (3), Muar (3), Kluang (3), Seri Alam (2) manakala Nusajaya, Kulaijaya, Segamat dan Pontian masing-masing satu kawasan.

“Di Johor Bahru Selatan, kawasan dikenal pasti paling banyak berlaku kemalangan adalah di Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi iaitu di Kilometer (Km) 3.5, Km4.5, Km7.5, Km8.2, Km18 dan Km21.

“Lokasi lain di Johor Bahru Selatan yang diberikan tumpuan adalah di Km7 dan Km9 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam serta Km5 Jalan Skudai-Teluk Danga,” katanya.

Mohd. Mokhtar berkata, kawasan yang akan diberi tumpuan di Batu Pahat adalah Km6 hingga Km14 dan Km18 hingga Km26 Jalan Kluang, Km118 hingga Km125 Jalan Johor Bahru-Melaka, Km86 hingga Km94 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam serta Km77 hingga Km86 Lebuh Raya Utara Selatan.

Di Mersing pula, katanya, adalah di Km1 hingga Km5 dan Km17 hingga 20 Jalan Endau-Mersing, Km1 hingga Km5 Jalan Jemaluang-Mersing serta Km40 hingga Km48 Jalan Kota Tinggi-Mersing.

Menurutnya, kawasan tumpuan di Kota Tinggi adalah di Km24 hingga Km35 dan Km40 hingga Km60 Jalan Johor Bahru-Mersing, Km40 hingga Km60 Jalan Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi serta Km20 hingga Km40 Jalan Kulai-Kota Tinggi.

“Sementara di Johor Bahru Utara adalah di Km9 hingga Km20 dan Km18 hingga Km21 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam serta Km12 hingga Km15 Lebuh Raya Pasir Gudang-Pelangi,” katanya.

Menurut Mohd. Mokhtar, kawasan tumpuan operasi di Muar adalah di Km5 hingga Km26 Jalan Muar-Segamat, Km1 hingga Km12 Jalan Muar-Yong Peng dan Km128 hingga Km174 Lebuh Raya Utara Selatan.

Di Kluang pula katanya, adalah di Km41 hingga Km60 dan Km50 hingga Km73 Jalan Batu Pahat-Mersing serta Km71 hingga Km75 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam manakala di Seri Alam melibatkan lokasi di Km21 hingga Km35 Lebuh Raya Pasir Gudang dan Km11 hingga Km19 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi.

“Kawasan tumpuan operasi lain adalah di Km24 hingga Km35 Jalan Johor Bahru-Pontian di Nusajaya, Km38 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam (Kulaijaya), Km181 hingga Km185 Jalan Johor Bahru-Seremban (Segamat) dan Km56 hingga Km63 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat,” katanya.

Mohd. Mokhtar berkata, seramai 450 pegawai serta anggota polis trafik akan ditugaskan dalam Ops Sikap XVII di negeri ini dan Bilik Gerakan Cawangan Trafik akan dibuka sepanjang operasi itu.

Sementara itu, katanya, polis mengeluarkan 19,545 saman membabitkan pelbagai kesalahan pada Ops Sikap XIII (ke-13) sempena Aidilfitri pada tahun lalu.

Justeru, menurutnya, semua pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi undang- undang jalan raya bagi mengelakkan dikenakan tindakan dan memastikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain.