KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 kematian dilaporkan pada hari ketiga Ops Sikap XIII, menjadikan jumlah mereka yang maut meningkat kepada 49 orang.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC II) Hamza Taib berkata, sebanyak 13 kes kemalangan maut dilaporkan dengan majoriti kematian melibatkan penunggang motosikal.
Beliau berkata, 10 penunggang motosikal maut, manakala masing-masing satu bagi pemandu kereta, penumpang kereta, pemandu lori, penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pejalan kaki,
‘‘Sebanyak 1,295 kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku di seluruh negara semalam.
‘‘Daripada jumlah itu, 624 kes berlaku di jalan bandaran, jalan persekutuan (290), jalan negeri (219), lebuh raya (104) dan jalan-jalan lain (58),’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya lagi, sebanyak enam kes kemalangan maut berlaku di jalan persekutuan, jalan negeri (5), masing-masing satu kes di jalan bandaran dan lebuh raya.
Menurut Hamza, sebanyak 11,098 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik semalam, berbanding 8,257 saman kelmarin, menjadikan jumlah saman yang dikeluarkan sepanjang tiga hari sebanyak 31,436 saman.
Beliau bagaimanapun berkata, jumlah kematian pada hari ketiga Ops Sikap XIII menurun berbanding Ops Sikap XI.
‘‘Hari ketiga Ops Sikap XI mencatatkan 18 kematian berbanding 15 kematian Ops Sikap XIII.
‘‘Ia menunjukkan usaha keras polis memberi petanda positif dan saya mengharapkan pengguna jalan raya terus memberi kerjasama sepanjang musim perayaan ini,’’ jelasnya.