Choose language : English Version
JERANTUT 16 Dis. - Seorang pemandu lori cedera selepas kenderaannya yang membawa muatan balak terbalik dan terbakar di Jalan Kuala Tahan-Jerantut berdekatan Felda Sungai Retang, dekat sini semalam. Kejadian pukul 1.30 petang itu dikatakan berpunca apabila salah satu daripada tayar belakang lori terbabit tercabut ketika sedang melalui laluan berliku dan berbukit di kawasan berhampiran Taman Negara tersebut.

Kemalangan itu menyebabkan berlakunya kebakaran dan letupan kecil pada lori terbabit. Berikutan itu, laluan tersebut terpaksa ditutup hampir 30 minit berikutan kerja-kerja pemadaman api dijalankan oleh Bomba dan Penyelamat Jerantut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Roslan Abu Talib berkata, kebakaran itu berpunca daripada percikan api di bahagian kepala lori berkenaan dan kemudian menyambar minyak yang tumpah.
"Lori terbabit sedang mendaki bukit dan tiba-tiba roda belakang sebelah kiri tercabut dan menyebabkan kenderaan itu hilang imbangan lalu terbalik di atas jalan raya.
"Litar pintas pada lori itu menghasilkan percikan api dan menyambar minyak diesel yang tumpah daripada tangki menyebabkan semua bahagian kepala lori itu terbakar," katanya di sini semalam.
Roslan memberitahu, seramai lapan anggota dan sebuah jentera bomba tiba di tempat kejadian pada pukul 1.40 petang selepas menerima panggilan kecemasan.
Menurut Roslan, kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak dilakukan oleh anggota bomba dan sebuah jentera berat digunakan untuk mengalihkan balak ke tepi jalan.
Katanya, pemandu lori terbabit yang mengalami cedera ringan menerima rawatan di Hospital Lipis sebagai pesakit luar.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan papan tanda amaran dipasang di laluan tersebut sebagai peringatan kepada pemandu kenderaan berat.
"Kita berharap papan tanda amaran keselamatan dipasang di kawasan ini atau dibuat garisan berkembar di atas jalan bagi mengelakkan berulang kemalangan khususnya kenderaan berat," katanya.
SUMBER UTUSAN MALAYSIA











