Choose language : English Version
Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Malaysia kini terus giat melaksanakan kempen keselamatan bagi golongan penunggang dan pembonceng motosikal menjelang musim perayaan Hari Raya Adil Fitri ini. Langkah ini amat penting ke arah meningkatkan dan menyedarkan orang ramai berhubung maklumat penting berkaitan isu-isu kesealmatan jalan raya.
Di musim perayaan ini para penunggang motosikal digalakkan untuk menggunakan sistem pengangkutan awam atau membuat perjalanan di sebelah waktu siang sekiranya terpaksa menggunakan motosikal untuk pulang ke kampung halaman bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. Ianya bertujuan menggalakkan penunggang dan pembonceng motosikal menggunakan mod pengangkutan yang lebih selamat dan juga untuk mengurangkan risiko mereka menunggang di waktu malam di mana kesukaran kebolehlihatan dan kehadiran mereka di jalan raya oleh kenderaan lain pada waktu malam adalah salah satu punca utama kemalangan terutama di jalan-jalan Persekutuan dan Negeri yang tidak dilengkapkan dengan kemudahan lampu jalan.
Dalam pada itu sebagai persediaan awal menjelang kempen bersepadu musim perayaan ini, pemantauan dan pemeriksaaan oleh PDRM, JPJ, JKJR dan AADK di terminal-terminal bas telah diperhebatkan dengan memfokuskan kepada keselamatan tayar, sistem brek kenderaan, buku log, rekod pemandu serta ujian rambang penggunaan dadah. Usaha ini adalah bagi memastikan bas dan pemandu dalam keadaan yang selamat sebelum memulakan perjalanan ke destinasi.
Ke arah meningkatkan penglibatan orang ramai dalam usaha menangani isu-isu keselamatan jalan raya, program Malaysian’s Unite For Road Safety (MUFORS) 090909 anjuran pihak PLUS juga mendapat sokongan padu JKJR, yang mana melalui program ini orang ramai boleh menyalurkan ikrar dan pandangan mereka menerusi foto, video atau khidmat pesanan ringkas (SMS) antara 9 pagi hingga 9 malam pada 9 September 2009.
Melalui Mufors 090909 ini orang ramai boleh memberi ikrar bagaimana boleh menyumbang mengurangkan kemalangan jalan raya dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman orang ramai berhubung isu-isu keselamatan jalan raya.
Turut menjayakan kempen advokasi pada hari ini adalah daripada pihak JPJ, PDRM, MIROS, RSMC, LPKP, PROTON, Perodua, Honda, MGRSP, SIRIM, PERKESO, JKR, PLUS, LLM, AAM dan Persatuan-Persatuan Tayar.











