Choose language : English Version
MELAKA 12 Jan. - Masih ramai pemandu yang tidak mempedulikan soal penjagaan tayar walaupun banyak kes kemalangan maut di negara ini berpunca daripada masalah tayar.
Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Melaka, Norazle Sulaiman berkata, sikap kurang peka dikenal pasti sebagai antara punca yang menjejaskan usaha kerajaan mengurangkan kes-kes kemalangan.
"Masih ramai pemandu yang alpa dengan aspek keselamatan khususnya mengenai maklumat tentang tayar.
"Mereka anggap maklumat mengenai tayar tidak penting tetapi sebenarnya ia menjadi antara faktor utama untuk mengurangkan kemalangan jalan raya," katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam sebuah program anjuran JKJR di Pasar Besar, Melaka Sentral, dekat sini baru-baru ini, pihaknya mendapati separuh daripada 30 pemandu yang ditemui "tidak tahu apa-apa" mengenai penjagaan tayar.
"Saya terkejut apabila pemandu yang ditemui langsung tidak memahami kepentingan tayar, mereka hanya tahu memandu sahaja.
"Sewaktu penerangan dibuat dan memeriksa tayar kenderaan, ada pemandu yang menggunakan tayar tidak berbunga dan keadaan itu sangat berbahaya,'' tegasnya.
Sehubungan itu kata Norazle, JKJR negeri akan memperhebatkan kempen meningkatkan pengetahuan dan kesedaran pengguna jalan raya mengenai aspek keselamatan tayar kenderaan.
Melalui program itu katanya, kenderaan pemandu akan diperiksa dan penerangan ringkas tentang maklumat tayar akan diberikan secara percuma.
Antara khidmat nasihat yang akan diberikan ialah mengenai kaedah mudah memeriksa ketebalan bunga tayar dengan menggunakan duit syiling 20 sen.
"Selain itu, pemandu akan didedahkan kepada kaedah memeriksa had minimum ketebalan bunga tayar dengan melihat tanda TWI (Tread Wear Indicator) atau tanda segi tiga pada permukaan dinding tayar.
"Kaedah mengenal pasti makna kod-kod maklumat penting yang ada pada tayar seperti tanda standard tayar, had laju maksimum tayar, bebanan maksimum tayar, bila tayar dihasilkan di kilang dan sebagainya," katanya.
Menurutnya, program itu akan diadakan setiap hari Jumaat di beberapa lokasi tertentu di negeri ini.
SUMBER : UTUSAN MALAYSIA











