Choose language : English Version
JOHOR BAHRU 17 Jan. – Seramai 500 murid dari lapan sekolah kebangsaan di daerah ini terpilih untuk menyertai Kempen Topi Keledar Kanak-Kanak Genting di sini hari ini.
Kempen tersebut merupakan anjuran bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Majlis Keselamatan Jalan Raya, Kementerian Pelajaran, Kelab Marshal Keselamatan Jalan Raya (RSMC) dan Genting Malaysia Berhad.
Timbalan Presiden Perkhidmatan Korporat Genting Malaysia Berhad, Kay Prakash berkata, Johor adalah negeri kelapan penganjuran program tersebut yang bertujuan memupuk kesedaran memakai topi keledar di peringkat usia muda.
Selepas ini, katanya, kempen tersebut akan bergerak ke Langkawi, Kedah sebagai destinasi terakhir yang disasarkan kepada murid dan pelajar sekolah serta orang dewasa.
“Ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat kami untuk menyedarkan masyarakat umum tentang kepentingan memakai topi keledar sebagai satu-satunya alat yang boleh melindungi kepala.
“Tujuan utama kempen tersebut adalah mewujudkan amalan dan budaya pemakaian topi keledar khususnya di kalangan murid dan pelajar sekolah yang membonceng motosikal ke sekolah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong.
Turut hadir Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh.
Pelbagai aktiviti diadakan sempena kempen yang diadakan di perkarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Nusantara, Gelang Patah itu.
Antaranya pendidikan melintas jalan raya, penerangan simbol papan tanda amaran jalan raya, cara memakai topi keledar dengan betul dan penggunaan lampu isyarat.
Kesemua kanak-kanak tersebut menerima sebuah topi keledar dan cenderahati daripada pihak menganjur.
Menurutnya, kempen hari ini sangat penting kerana ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya sehingga 50 peratus tahun ini.
Katanya lagi, ia juga sebahagian daripada usaha untuk melahirkan generasi baru yang sentiasa mengutamakan dan menjadikan aspek keselamatan jalan raya sebagai budaya serta amalan dalam kehidupan seharian.
“Sehingga kini, kita telah melibatkan kira-kira 4,500 murid-murid dan pelajar di seluruh negara dalam kempen kesedaran ini,” katanya.
SUMBER : UTUSAN MALAYSIA











